Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, setinggi-tinggi
kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya,
kita masih dianugerahkan nikmat Iman dan Islam dalam usaha menghayati dan
mensyukuri segala pemberian-Nya. Syukur juga dipanjatkan kepada Ilahi kerana
kita dapat bersama-sama berkumpul dalam keadaan aman dan harmoni untuk menjayakan Majlis Amanat Perdana
Naib Canselor Bersama Pelajar Baharu Sarjana Muda dan Watikah Perlantikan
Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2017/2018.
اعوذ بالله
من الشيطان الرجيم
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ
صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ (٤)
Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam
barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
(As-Saff: 4)
(As-Saff: 4)
Y. Bhg Dato’ dan sidang hadirin sekalian,
Terbentuknya
Majlis Perwakilan Pelajar yang pertama pada tahun 2000 ketika rumah kita ini
masih lagi dengan nama klasiknya, Kolej Universiti Islam Malaysia adalah atas
keyakinan dan harapan yang tinggi untuk melihat universiti ini dipimpin oleh
saf pimpinan yang boleh dijadikan qudwah hasanah, berfungsi sebagai rujuk
utama mahasiswa dalam hal-hal kebajikan dan mampu menjadi pemimpin yang
mengangkat agenda murni kampus barakah ini. Masa kian berlalu,
zaman berubah merentas generasi, perubahan demi perubahan didambakan oleh
segenap mahasiswa kita menunjukkan harapan mereka kepada saf pimpinan tertinggi
ini tetap utuh dan teguh. Maka dengan sepenuh keberanian dan kesanggupan kami
mempertaruhkan diri demi kemaslahatan ummah, hadirnya kami saf pimpinan, Majlis
Perwakilan Pelajar Sesi 2017/2018 yang
masih utuh dipercayai mahasiswa merentas 17 tahun penubuhan.
Hadirin sekalian,
Diversiti
yang pelbagai dengan suasana yang variasi tidak sepatutnya menjadi alasan dan
sebab untuk kita bertelagah atas ketidaksefahaman antara kita. Sebaliknya,
elemen diversiti tersebut haruslah dipandang sebagai suatu nikmat kepada kita
untuk saling melengkapi dan saling membantu dalam melaksanakan agenda
pembangunan ummah. Kesepaduan sesama badan-badan pelajar yang menjadi
penggerak dan tunjang utama universiti merupakan agenda utama yang akan dibawa
oleh kami pada kali ini. Berpayungkan Majlis Perwakilan Pelajar, hasrat
badan-badan pelajar untuk merealisasikan agenda pembangunan mahasiswa dan ummah
akan kita dukung dan capai bersama-sama, menunjukkan sokongan dan galakan kita
ke atas apa-apa sahaja usaha positif, murni dan realistik yang ingin dibawa
oleh sesiapa sahaja di dalam USIM.
Setelah
langkah kita derapkan bersama di bawah payung “Langkah Ini Langkah Kita
Bersama”, beralih pula kepada roh untuk melihat perubahan yang lebih
positif dan terkehadapan dengan laungan “Bersama Memimpin Perubahan”,
dipertonjolkan segenap bakat dan potensi mahasiswa ke pentas yang lebih
gemilang dengan keramat “Bersama Memberdaya Potensi”, maka kali ini kami
berkeyakinan yang padu dan jitu bahawa sudah tiba masanya kita bergabung tenaga
mengumpul seluruh usaha dalam merealisasikan motto kami, “Seiring Menerajui Insan
Perkasa”.
Pembawakan
kami begitu jelas untuk meneraju agenda pemerkasaan dan kebersamaan agar hasil
usaha kita yang gemilang nanti, akan dapat dibanggakan bersama dan disebarkan
manfaatnya kepada seluruh masyarakat sekitar. Oleh hal yang demikian, tampilnya
kami barisan MPP sesi 2017/2018 bersama tiga domain yang akan kami fokuskan dan
dilaksanakan secara bersama iaitu; Pusat Kolaborasi, Manifestasi Sebenar
Ilmu Naqli dan Aqli dan Kebajikan Berfokus.
DOMAIN PERTAMA: PUSAT KOLABORASI / CENTRE OF COLLABORATION
Selaras dengan
kedudukan Majlis Perwakilan Pelajar sebagai badan tertinggi universiti seperti
yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti, hasrat kami pada
kali ini adalah untuk menjadikan MPP USIM sebagai pusat kolaborasi atau centre
of collaboration dalam kalangan badan-badan pelajar yang lain. Peranan
MPP sebenarnya lebih menjurus kepada badan penyeliaan dan penyelarasan, dan
bukan hanya tertumpu pada penganjuran program semata-mata. Namun, kebebasan
adalah milik semua badan pelajar untuk menjalankan program-program yang
bermanfaat, berintelektual dan memberi impak pada mahasiswa serta masyarakat dengan kerjasama badan pelajar
yang lain. Elemen kebebasan, kemesraan, kekeluargaan dan kerjasama akan sedaya
upaya kami terapkan kepada semua badan pelajar dalam memperkukuh fungsi kami
sebagai centre of collaboration.
Hal ini selaras dengan
surah al-Maidah ayat kedua, “Dan tolong-menolonglah kamu dalam hal kebajikan
dan ketakwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam hal dosa dan permusuhan”.
Melalui fungsi kami sebagai centre of collaboration yang
efektif, kesepaduan dan kesepakatan sesama badan pelajar akan
ditonjolkan dengan lebih jelas, sekaligus mewujudkan suasana professionalisme
dalam gerak kerja, yang mana kualiti dititikberatkan dengan begitu mendalam. Misi
kami juga pada kali ini adalah untuk menjadikan badan pelajar di dalam USIM
sebagai sebuah keluarga pimpinan, di mana sikap saling merujuk dijadikan
kelaziman dan MPP sebagai pusat rujukan utama antara badan-badan pelajar
yang bernaung dengan aman dan harmoni di bawahnya.
DOMAIN KEDUA: MANIFESTASI SEBENAR ILMU NAQLI DAN AQLI
Yg. Bhg. Dato’ dan para hadirin,
Universiti Sains Islam
Malaysia adalah sebuah universiti yang terkehadapan dalam menerapkan konsep integrasi ilmu
naqli dan aqli yang mana manifestasi daripada gagasan ini perlu dizahirkan
secara betul dengan kefahaman yang jitu dan bersepadu dalam semua
golongan mahasiswa. Konsep ini perlu
diterjemahkan berpaksikan panduan dan rujukan yang benar. Oleh itu, kami
sebagai Majlis Perwakilan Pelajar berasa terpanggil untuk menjadi entiti
pertama yang mendokong dan menterjemahkan agenda penuh makna ini . Hasrat
murni universiti dalam usaha melahirkan para ilmuwan yang bermodelkan Graduan
Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) akan sentiasa dijunjung dan diangkat
oleh kami, selaku saf pimpinan pertama universiti, agar kefahaman berkaitan perintegrasian
ini tidak hanya tertumpu pada sesuatu objek yang kita letakkan sebagai wadah
kepada matlamat kita, tapi meliputi amalan dan praktikaliti seorang insan yang
lahir daripada jiwa yang terdidik dengan kefahaman sebenar mengenai gagasan
murni intergasi naqli dan aqli ini. Model GIINA selayaknya dihayati oleh
segenap lapisan mahasiswa dengan penerangan yang berterusan dan menarik oleh
pihak universiti demi menyemai pemahaman yang sebenar tentang hasrat ini.
Respected, Referred and Relevant merupakan
nilai pembawaan kami dalam sesi kali ini. Masyarakat sekitar sangat mendambakan
pemuda-pemuda terutama tenaga mahasiswa yang boleh dijadikan ikon masyarakat
dan berbakti di tengah-tengah kesibukan komuniti. Dengan pelaksanaan Modul
GIINA yang sebenar, kami barisan MPP dengan sepenuh keyakinan percaya bahawa
kemampuan kita untuk melahirkan insan
berkebolehan dalam segenap bidang, ketahanan spiritual dan minda yang tinggi,
kekuatan agama dan sikap professionalisme akan dapat diberdayakan dan
diperkasa. Hal ini selaras dengan visi MPP USIM iaitu membentuk mahasiswa
berperibadi al-Abrar yang berilmu, berdisiplin dan bertakwa. Ini merupakan
nilai tambah yang seharusnya dimiliki oleh graduan USIM hasil penerapan sebenar
nilai integrasi ilmu naqli dan aqli.
DOMAIN KETIGA: KEBAJIKAN BERFOKUS
Fungsi Majlis
Perwakilan Pelajar sebagai badan yang memelihara kebajikan mahasiswa secara keseluruhannuya
akan diperkukuh pada kali ini dengan saluran dan matlamat yang lebih berfokus.
Hal ini sememangnya menjadi teras utama perjuangan MPP untuk mahasiswa.
Sehubungan itu, MPP sebagai badan yang diberi mandat dengan keyakinan yang
teguh oleh seluruh mahasiswa tidak akan memandang sebelah mata akan isu-isu
kebajikan. Kali ini, peranan kami dalam isu kebajikan akan lebih berfokus, agar
segala perkara yang menjadi topik besar dalam isu ini akan segera difikirkan
sistem yang lebih baik, disusuli pelaksanaan berkesan demi kemaslahatan
mahasiswa untuk tempoh masa yang berpanjangan. Namun, aspek kebajikan yang lain
turut diutamakan dan dibawa secara bersama menurut saluran yang betul dan
effisien.
KESIMPULAN
Hadirin dan hadirat sekalian,
Sebagai pengakhiran
kepada ucapan dasar ini, suka untuk saya ingatkan bahawa perjuangan kami ini, tidaklah mengharapkan apa-apa balasan sekalipun,
melainkan untuk melihat warga kita ke
arah yang lebih gemilang di pentas ummah, selaras dengan visi USIM iaitu mengintegrasikan naqli dan aqli demi mentransformasi dan menghasilkan nilai
kepada negara, ummah dan manusia sejagat. Oleh itu, marilah bersama kami dalam
menerajui agenda kebersamaan ini.
Sekian,. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum wbt.
0 ulasan:
Post a Comment