Mahasiswa; Terhimpit dan Dihimpit!
'Mahasiswa manja' merupakan satu label
yang telah diletakkan oleh segelintir pihak keatas golongan mahasiswa hari ini.
Gelaran ini sedikit sebanyak telah mencetuskan kontroversi dan menjadi polemik
dalam kalangan mahasiswa khususnya. Pada pandangan saya, ukuran manja yang
dimaksudkan bukan sekadar dalam pengurusan kewangan sahaja, tetapi juga dalam
aspek kemandirian dan pengurusan diri. Segelintir mahasiswa hari ini, pada
hemat saya, lebih 'manja' dalam berdikari dan telalu berada dalam zon selesa di
kampus sendiri. Gelaran tersebut bukanlah salah, tetapi tidak tepat dan
keterlaluan jika dipukul rata kepada mahasiswa secara keseluruhannya.
Benar, kenaikan harga barang dan kos sara
hidup telah memberi kesan yang signifikan kepada kedudukan kewangan mahasiswa.
Akan tetapi, ianya bukanlah punca utama yang menyebabkan mahasiswa terpaksa
'ikat perut'. Lebih ramai mahasiswa yang terpaksa 'ikat perut' kerana kedudukan
kewangan diri dan keluarga yang kurang baik dan semakin terjejas kerana
kenaikan harga barangan dan penurunan matawang negara. Jadi, penentuan corak
hidup dan pengurusan wang lebih dicorakkan oleh sikap, gaya dan taraf hidup
seseorang itu disamping kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Selain itu, memandangkan kepada evolusi
pembelajaran dan komunikasi hari ini yang memaksa mahasiswa untuk menggunakan
telefon pintar dan aplikasi atas talian, keperluan kepada sebuah telefon pintar
menjadi penting kepada golongan ini. Sungguhpun begitu, hanya sebilangan sahaja
yang bersikap suka bertukar telefon pintar, berbelanja dengan pakaian mahal. Budaya
menukar telefon bimbit dan barangan bukan keperluan kebanyakannya berlaku dalam
kalangan golongan yang mampu dan mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi.
Tidak tepat jika kita katakan mahasiswa
tidak pandai mengurus kewangan diri kerana terdapat juga golongan mahasiswa
yang bijak dalam mengurus kewangan. Kenaikan harga makanan dan barangan
keperluan yang semakin meningkat hari ini, sedikit sebanyak telah mengubah gaya
hidup dan perbelanjaan segelintir golongan mahasiswa yang mempunyai kedudukan
kewangan yang rendah dan sederhana. Tidak dinafikan bahawa ramai mahasiswa yang
mempunyai kekangan kewangan dihujung semester, akan tetapi tidak wajar untuk
mengatakan bahawa mahasiswa tidak pandai mengurus kewangan sendiri jika selama
ini wang yang diperoleh dari keluarga, pinjaman PTPTN, bantuan zakat atau
biasiswa hanya mencukupi untuk yuran, makan minum dan keperluan asasi.
Walaubagaimanapun, gelaran 'Mahasiswa
manja' sama sekali tidak wajar dilabel kepada golongan ini dengan hanya
menyandarkannya kepada penilaian pengurusan kewangan semata-mata. Lebih banyak
aspek yang perlu diambil kira sebelum melabel golongan mahasiswa ini sebagai
manja.
Nurhidayah Syahira Binti Muhammad Radzi
TImbalan Yang Di-Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia
terbaek...
ReplyDelete