Image and video hosting by TinyPic

" SEIRING MENERAJUI INSAN PERKASA "

Image and video hosting by TinyPic

Tuesday, October 9, 2012

Ucapan Dasar YDP MPP USIM Sesi 2012/2013




UCAPAN DASAR YANG DIPERTUA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USIM 2012
MOHAMAD RAZIF BIN MOHAMAD FUAD
TAHUN 3, SARJANA MUDA PENGAJIAN AKIDAH DAN AGAMA
FAKULTI KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN

Muatturun (PDF)
Lihat melalui FlipSnack

Assalamualaikum Warahmatullahi wa barakatuh.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT, kerana pada malam yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama dalam Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia Sesi 2012/2013. Syukur dipanjatkan kepada Illahi kerana dikesempatan ini juga, kita masih dikurniakan nikmat untuk hidup sebagai Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasulnya. Sesungguhnya, keimanan ini telah meletakkan kita dalam kalangan sebaik-baik ummah.

Berdirinya saya pada hari ini, semata-mata untuk menzahirkan kesyukuran dan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh sahabat-sahabat saya untuk memimpin barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar untuk sesi kali ini.

Y.Bhg. Dato’ dan sidang hadirin sekalian,
Pada tahun ini, USIM terus melangkah ke dekad yang baru dengan satu harapan dan impian untuk mencipta kejayaan yang berganda serta  kecemerlangan yang menyeluruh dalam memastikan tekad USIM untuk menjadi sebuah institusi keilmuan Islam yang terbilang. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pihak pentadbiran yang telah dipimpin oleh Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr. Muhammad Muda selaku Naib Canselor kerana telah berjaya  meletakkan USIM setaraf dengan institusi pendidikan yang lain. Hal ini terbukti, dengan pelbagai kejayaan yang telah dirangkul sepanjang 10 tahun pengisytiharan USIM baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Semua kejayaan ini tidak akan berhasil  tanpa kerjasama seluruh warga kampus Universiti Sains Islam Malaysia.

Y.Bhg. Dato’ dan sidang hadirin yang dimuliakan,
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ialah badan perwakilan pelajar utama di kampus yang merupakan medan dan lapangan untuk mengasah bakat kepimpinan dan meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa/i. Selain menjadi medium antara pihak universiti dan mahasiswa , MPP juga memainkan peranan utama dalam menggerakkan enam bidang keberhasilan utama (KRA) yang telah digariskan oleh pihak universiti. Sebagai sebuah badan utama yang mewakili suara mahasiswa/i USIM, MPP berikrar akan memberikan khidmat yang terbaik kepada warga USIM amnya, dan pihak pentadbiran, tenaga pengajar dan mahasiswa/i  khususnya. Justeru, kami barisan kepimpinan MPP sesi 2012/2013 bersedia untuk menggalas amanah yang diberikan dan memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu pihak universiti untuk menjayakan program-program yang direncanakan bagi membentuk graduan holistik serta berdaya gaji tinggi sebagaimana yang digariskan dalam KRA 1.

Sebagai satu-satunya universiti kerajaan yang berteraskan pengajian Islam, MPP USIM berjanji akan menjadikan Islam sebagai aspirasi utama selaras dengan usaha Dato’ Naib Canselor yang meletakkan nilai-nilai Islam sebagai teras pentadbiran universiti dan menekankan pembentukan generasi al-Abrar. Oleh itu, kami di barisan MPP sesi 2012/2013 telah bersetuju untuk menetapkan visi iaitu “Membentuk mahasiswa berperibadi al-Abrar yang berilmu, berdisiplin dan bertakwa”.

Sidang hadirin yang dimuliakan,
Berpaksikan kepada slogan MPP Smart, Responsive, Competent, kami telah menterjemahkan slogan MPP pada sesi ini ke dalam empat misi utama iaitu :
1.      Pembudayaan Ilmu
2.      Keunggulan Sahsiah
3.      Prihatin Kebajikan Mahasiswa
4.      Kebersamaan  Dalam Meneraju Kepimpinan

Y.Bhg Dato’ dan sidang dewan sekalian,
PEMBUDAYAAN ILMU
Memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Alaq ayat 1-5]

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni dalam tafsirnya menjelaskan maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Alaq ayat 1 dengan menyatakan, "Ini adalah seruan terawal Allah SWT kepada Nabi SAW yang mana di dalamnya ada seruan kepada pembacaan, penulisan dan ilmu." [Sofwah al-Tafasir, 3/554]

Wahyu sulung yang menyuruh agar Nabi SAW membaca, menunjukkan pembinaan manusia berasaskan ilmu pengetahuan melalui jalan pembacaan. Kepentingan dan keutamaan ilmu yang menentukan jatuh bangun sesebuah bangsa dapat dibuktikan secara empirikal.  Hasil keilmuan Yunani memberi pengaruh besar ke atas Rom dan bangsa-bangsa lain hingga kini. Begitu juga pengaruh keilmuan Jerman amat besar ke atas Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat. Kebangkitan kuasa Jepun hasil dari Meiji Restoration yang juga menumpukan kepada gerakan penyuburan ilmu sejak 1960-an menyaksikan Jepun bangun sebagai satu kuasa besar.

Al-Ghazzali tidak mungkin dapat mencantas dan mematahkan hujah aliran pemikiran seperti Batiniyyah jika tidak menekuni segala bentuk pemikiran yang menggoyahkan akidah Islam pada ketika itu. Dari situlah lahir karya magnum opus, Tahafut al-Falasifah. Tahafut al-Falasifah jugalah yang memancung terus pemikiran falsafah Yunani yang terkandung di dalamnya pemikiran Neoplatonism; pemikiran yang turut meracuni ilmuan Islam ketika itu.

Jika diteliti, di antara tujuan penubuhan USIM ialah memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara dan menekankan penggunaan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan penyelidikannya. Penguasaan bahasa Arab dan Inggeris di samping bahasa kebangsaan juga menjadi tumpuan. Melihat kepada tujuan penubuhannya, jelas USIM memerlukan satu konsep budaya ilmu yang jauh terkehadapan berbanding IPTA lain dalam melahirkan para graduan yang berkualiti dan menguasai pasaran semasa; bukan sekadar memenuhi pasaran semasa.
Membina budaya ilmu di sebuah institusi yang baharu 'setahun jagung' seperti USIM, bukanlah satu perkara yang mudah. Ia juga tidak mempunyai jalan dekat. Daripada analisa sejarah kejayaan bangsa-bangsa terdahulu terutamanya Tamadun Islam, jelas bahawa sistem nilai, pandangan hidup, idealisme masyarakat dan individu mestilah diperkukuhkan bagi mencapai kepada terbinanya budaya ilmu di USIM.

Sebagai langkah awal ke arah pembudayaan ilmu di USIM, MPP USIM melihat perlunya diperbanyakkan program-program diskusi ilmiah berkenaan isu-isu agama, politik, ekonomi, akhlak, falsafah dan sains dalam suasana yang santai dan berkesan. Selain dari itu, usaha memperkenalkan para ilmuan dunia Islam perlu dirancakkan dalam bentuk pameran, seminar atau ceramah bagi membolehkan mahasiswa/i USIM mengenali seterusnya mendapat inspirasi dari tokoh-tokoh ilmuan Islam yang terkini mahupun yang silam untuk lebih berjaya dalam pengajian mereka. 

Pihak MPP USIM juga berhasrat untuk memberi nafas baru kepada Mimbar Ilqa’ yang dilihat sebagai salah satu medium yang baik untuk menjana budaya ilmu dan kemahiran berbahasa dalam kalangan mahasiswa. Hal ini bertepatan dengan Bidang Keberhasilan Utama USIM (KRA) yang ketiga iaitu membangun dan memupuk serta melahirkan cendiakawan dan pendeta yang tersohor.

KEUNGGULAN SAHSIAH
Keunggulan sahsiah adalah elemen penting yang perlu dititikberatkan dalam diri setiap mahasiswa . Bagi mencapai hasrat ini, MPP USIM komited dalam membantu pihak universiti untuk memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan yang menjadi wawasan utama USIM. Kami yakin dan percaya bahawa keungguan sahsiah adalah salah satu faktor seseorang itu lebih hampir kepada Penciptanya.
Dalam menjayakan hasrat murni ini, Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik yang harus kita teladani. Segala bentuk amalan, perbuatan serta tingkah laku beliau menjadi sunnah yang perlu dicontohi dan dipraktikkan oleh seluruh umat Islam.
Tidak ada jalan pintas untuk mengembalikan kecemerlangan Islam melainkan dengan mengembalikan keunggulan sahsiah anak muda zaman sekarang yang kian hilang. Mahasiswa USIM adalah harapan negara dan juga benteng bagi mempertahankan ketinggian Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 110

Maksudnya: “Kamu (umat islam)  adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah..”

Secara tuntasnya, elemen sahsiah adalam amat penting dan harus diberi perhatian oleh semua pihak. Menyedari hakikat ini kami meletakkan perancangan untuk mempelbagaikan aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan yang menghubungkan antara mahasiswa/i USIM dengan masyarakat luar khususnya sekitar Nilai. Sudah sampai masanya kita memaknakan keberadaan USIM dalam masyrakat di Bandar Baru Nilai.
PRIHATIN KEBAJIKAN MAHASISWA
Sebagai sebuah badan pelajar yang menjadi perantara mahasiswa dan pengurusan universiti, MPP merupakan platform terbaik untuk menyuarakan pandangan dan hasrat kebajikan mereka. Jesteru, kami  tampil dengan membawa pembaharuan dalam usaha menjaga kebajikan mahasiswa semampu daya yang ada.

Bertemakan prihatin kebajikan mahasiswa, MPP USIM akan berusaha untuk menganalisa isu kebajikan mahasiswa secara matang berdasarkan keperluan dan kemampuan Universiti. Merujuk kepada dasar yang pernah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Telus, Cekap dan Amanah, MPP USIM akan memacu transformasi ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, kurang birokrasi dan mesra mahasiswa.

Untuk merealisasikan agenda ini, kebersamaan kami dengan seluruh mahasiswa kampus menjadi asas utama dalam meningkatkan kesepaduan dan hubungan yang baik antara pimpinan MPP dengan seluruh masyarakat kampus. Oleh itu, kami melihat perlunya sistem Aduan Online di peringkat MPP USIM bagi mahasiswa untuk lebih mudah berinteraksi secara terus dengan MPP USIM bagi menyalurkan cadangan atau aduan. Sistem penyampaian maklumat yang terkini dengan saluran yang diselaraskan amat penting bagi melicinkan perjalanan pentadbiran MPP USIM.

Keselamatan pelajar luar kampus juga menjadi fokus utama MPP USIM sesi kali ini. Penubuhan Sekretariat Pelajar Luar Kampus adalah perlu bertujuan untuk mengumpulkan para pelajar yang menetap di Desa Anggerik, Desa Kasia, Desa Melati, Desa Kolej dan Desa Indah di bawah satu sekretariat. Dengan adanya sekretariat ini, aktiviti pelajar luar kampus akan lebih berpusat dan kualiti keselamatan mereka akan lebih terjamin.

Pada sesi kepimpinan kali ini juga, MPP USIM bercadang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau harga makanan dan kawalan kebersihan kafetaria yang dianggotai oleh wakil MPP USIM dan pihak pengurusan universiti. Ianya dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti kafetaria seterusnya memastikan warga kampus berasa selesa dengan perkhidmatan yang diberikan.

Y.Bhg Dato’ dan sidang dewan sekalian,

KEBERSAMAAN DALAM MENERAJUI KEPIMPINAN

Diriwayatkan dari Abu Musa radhiallahuanhu. Beliau berkata: Rasulullah saw. bersabda:

“Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya saling menguatkan sebahagian yang lain. “(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis yang saya bacakan sebentar tadi, jelas menyatakan bahawa  Islam amat menitikberatkan soal kebersamaan dalam pembentukan organisasi demi mencapai sesuatu matlamat yang suci. Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal al-Qur’an telah menghuraikan dengan terperinci ruh dan tuntutan sebenar yang disyariatkan oleh Islam di dalam ayat 4 surah al-Saff. Di dalam ayat tersebut, Allah SWT mewajibkan Islam ditegakkan secara berencana dalam satu kepimpinan yang tersusun rapi laksana sebuah bangunan kukuh yang dimithalkan dengan sususan saff angkatan perang

Kebersamaan dalam menjalankan tanggungjawab dapat menjamin keharmonian dan keamanan bumi USIM yang tercinta. Bak kata pepatah “Bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat”. MPP USIM pada kali ini memberi fokus kepada program-program anjuran bersama yang akan dijalankan dengan sekretariat-sekretariat fakulti, kelab-kelab dan persatuan-persatuan pelajar di USIM.  Semua persatuan, kelab dan sekretariat fakulti-fakulti di USIM perlu bersatu-padu mengembleng tenaga demi menyahut aspirasi yang telah digariskan oleh pihak pengurusan USIM.

 Ladies and gentlemen,
I hope all of us have realized that we are part of history here. In this hall, full of powerful and influential people, it is an absolute honor to be able to speak in front of the group of highly educated professional in this country. I am humbly standing here today by the task before us grateful for the trust that my fellow friends have granted me realizing at the same time a golden opportunity for us as students to be ready to lead our institution in the pursuit excellence and its journey towards success. Therefore, I’m optimized that we are making a great progress to achieve our vision for professionalism among students. We are very committed to this vision at it is in line with the philosophy of USIM.

In order to face these challenges, every entity of USIM, the management, lectures and students especially should have full understanding and play important roles in order to uphold USIM’s goodwill. Thus, the Student’s Representative Council will be the catalyst to generate professionalism among students. Insya-Allah, we will head the students in achieving this mission and vision of the university as a whole.

Di kesempatan ini, kami ingin mengambil peluang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr Muhammad Muda atas kesudian untuk hadir ke Majlis Penyampaian Watikah MPP 2012. Semoga kehadiran Yang Berbahagia Dato’ ke majlis yang bersejarah ini,memberikan keyakinan kepada kami untuk memimpin mahasiswa USIM.

Akhirnya, kami amat mengharapkan kerjasama yang jitu dari pihak pentadbiran Universiti, Bahagian HEP, kepimpinan mahasiswa/i khususnya dalam mencapai aspirasi dan wawasan universiti. Sebelum mengakhiri kalam, kami barisan kepimpinan MPP memohon agar diberikan kerjasama dan peluang untuk kami melaksanakan visi dan misi pentadbiran pada sesi ini. Masa depan kita adalah cermin diri kita, maka kita berhak menentukannya.
Marilah kita menanam tekad untuk bersama menggembleng tenaga membentuk akal dan jiwa mahasiwa/i USIM. Semoga rahmat dan pertolongan Allah sentiasa di sisi kami di setiap langkah dan tindakan yang dilakukan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisaa’ ayat 79,
  
Maksudnya: “Apa jua kebaikan yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.”

Segala yang baik datang dari Allah dan segala kekurangan adalah daripada kesilapan kami yang tidak disengajakan. Saya memohon maaf atas salah dan silap sepanjang menyampaikan ucapan ini.

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabaraktuh

4 ulasan:

  1. Tahniah..
    Smg segala urusan dan usaha dipermudahkan olehNYA..
    Kami juga berbesar hati utk membantu (scr langsung/ tidak langsung) pihak MPP USIM bagi menggalas dan melaksanakan amanah yg dipikul
    wallahua'lam.
    -Wakil PEMBINA-

    ReplyDelete
  2. bagaimana saya boleh hubungi ydp mpp usim?sila emailkan pada saya di zahira@mysuara.net

    ReplyDelete
  3. ucapan yang sangat menarik . actually sya pun president di kolej sya . ini first sya pimpin tanggungjwb sebesar ini . ucpn awak sgt bgus

    ReplyDelete